Artikel dan Laporan Media bertarikh 7 Jun 2012 untuk perkongsian semua.
The more that you read, the more things you will know. The more that you learn, the more places you'll go.”
― Dr. Seuss
Kita tidak perlu bahasa rasmi kedua
BARU-BARU ini penaung diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot kepada kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari bahasa itu.
Baginda juga berkata, ada dalam kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai bahasa kedua tiada kena mengena dengan cinta kepada negara.
Tanggapan baginda itu tidak salah, bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu diputarbelitkan sebuah stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual bicara edisi petangnya, Khamis lalu.
Stesen radio itu dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja Zarith Sofiah itu.
Tiada siapa pun pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua negara sebagai usaha memaksa rakyat memberi tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu. Jauh sekali berpendirian usaha menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara tidak patriotik.
Ramai mengakui penguasaan bahasa Inggeris memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai sejumlah besar rakyat negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.
Diakui kita sebagai negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu. Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada negaranya.
Seperti diharapkan pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah antara mereka yang menelefon memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan bahasa Inggeris mahu dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan itu lebih menjengkelkan dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini.
Mereka termasuk ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris?
Tidak dinafikan ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu sehingga ada yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta.
Yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat sekolah rendah lagi.
Usaha ini sudah dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan menambah masa pelajaran bahasa Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330 minit. Demikian pula bagi pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk menguasai bahasa itu dengan baik sebelum diberi ijazah. Sehingga kini sebahagian besar graduan IPTA tidak diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana penguasaan bahasa Inggeris amat lemah.
Malangnya oleh kerana kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan baik. Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan.
Baiknya usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua.
Walaupun tanpa perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.
Bukan setakat itu saja, hingga sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu kurangnya perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama bangsa tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.
Oleh itu ramai lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.
Mahkamah masih perlu menyediakan jurubahasa kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana mereka tidak boleh memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil daripada keadaan demikian ini?
Bukankah keadaan ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian dilaksanakan? Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?